Oh! Perodua perkenal Alza Smart Ride (SR) dengan harga bermula dari RM53,013.00 OTR

Saturday, 11 February 2012

print this page
send email


Model MPV popular buatan Malaysia Perodua Alza kini sudah ada varian terbaru yang ditawarkan dengan harga lebih rendah dan menarik mulai hari ini. Diperkenalkan sebagai Perodua Alza Smart Ride (SR), ia ditawarkan pada harga atas jalan bermula dari RM53,013.50 dan RM56,513.50 bagi Semenanjung Malaysia. Para pelanggan yang berminat sudah boleh membuat tempahan di semua 178 pusat jualan Perodua di seluruh negara.

Perodua Alza SR merupakan sebuah model praktikal dengan ruang dalaman yang luas dan selesa, namun ditawarkan pada harga mampu milik. Jualannya disasarkan kepada golongan keluarga muda yang mahukan sebuah MPV kompak dengan ciri-ciri seperti sebuah sedan. Menurut Pengarah Urusan Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh, Perodua Alza merupakan model yang sangat diminati dengan jualannya sehingga kini mencecah 81,000 unit sejak pelancarannya pada November 2009. 


Masih mengekalkan enjin 1.5 liter seperti varian terdahulu, Perodua Alza SR didatangkan dengan tiga warna menarik : Glittering Silver (Perak), Ivory White (Putih) dan warna baru Mystical Purple (Ungu). Dua varian disediakan untuk pilihan pelanggan sama ada manual atau automatik, di mana versi automatik menampilkan tuil brek tangan (hand brake) pada kedudukan biasa di sebelah kiri pemandu. Perubahan tersebut turut melibatkan kerusi depan yang kini terpisah berbanding jenis bercantum untuk varian automatik sebelumnya.

Bagi menjadikan harganya kompetetif, Perodua telah membuang beberapa ciri yang dirasakan tidak penting. Antaranya termasuklah ketiadaan beg udara keselamatan, sistem brek anti kunci ABS, EBD dan BA, tiada butang kawalan audio di roda stereng, serta penggunaan satu tona warna untuk papan pemuka dan kemasan dalaman.


Perodua meletakkan sasaran untuk menjual kira-kira 400 unit Alza SR pada setiap bulan, mencakupi kira-kira 13 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan.

No comments:

Post a Comment